WASHINGTON - Enam individu berada di dalam pesawat kecil yang terhempas di Philadelphia, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), selepas pada mulanya melaporkan hanya dua orang berada di dalam pesawat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pesawat itu, sebuah jet pengangkutan perubatan, mempunyai empat anak kapal, seorang pesakit dan seorang lagi penumpang di dalamnya, menurut syarikat pengendali dalam satu kenyataan.
"Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan mangsa yang terselamat," kata Jet Rescue Air Ambulance dalam kenyataan itu.
Kemalangan itu berlaku di kawasan timur laut bandar yang sibuk, dikelilingi deretan kedai, bangunan pangsapuri dan trafik yang padat.
Sejumlah besar perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan.
Datuk Bandar Philadelphia, Cherelle Parker berkata, maklumat mengenai jumlah korban belum dapat disahkan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan beberapa bangunan kediaman dan kenderaan turut terjejas akibat nahas itu. - Bernama-dpa