Komuniti e-hailing, p-hailing perlu perhatian segera kerajaan

Iklan
Tempoh kerja yang panjang untuk memperoleh pendapatan yang baik menjadi punca pemandu e-hailing dan p-hailing keletihan, kurang tidur dan mengalami tekanan mental - Gambar hiasan

KERAJAAN Madani perlu lebih peka terhadap kebajikan pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing di Malaysia berikutan bebanan kewangan dihadapi mereka susulan peningkatan kos sara hidup dan harga barang.

Sehubungan itu, mereka berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat campur tangan dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) agar menjalankan kajian menyeluruh mengenai kadar tambang dan upah perkhidmatan penghantaran di Malaysia yang dikatakan amat rendah ketika ini.

Iklan
Iklan

Bayangkan ada syarikat pengendali e-hailing yang mengenakan tambang tidak masuk akal, semurah bawah RM3 untuk satu perjalanan sejauh lima kilometer dari 'pick up (tempat mengambil penumpang)' ke lokasi 'drop off (tempat menurunkan penumpang' atas alasan promosi.

Kadar semurah itu bukan sahaja tidak berbaloi, mengambil kira kos bahan api, minyak pelincir, tenaga dan penyelenggaran kenderaan semakin mahal yang terpaksa ditanggung pemandu e-hailing sekarang.

Iklan

Keadaan itu bertambah buruk apabila terdapat syarikat operator e-hailing mengenakan komisyen antara 15 hingga 25 peratus daripada tambang yang dicaj terhadap penumpang.

Senario itu menyebabkan mereka seumpama membuat kerja kebajikan dan terpaksa memandu kereta atau menunggang motosikal lebih 14 jam untuk menjana pendapatan bersih RM100 sehari.

Iklan

Lebih menyedihkan, apabila ada syarikat memberikan kadar upah sama rata kepada pemandu e-hailing yang membawa penumpang atau menghantar barangan ke kawasan sesak pada waktu puncak.

Presiden TPAD, M Nathan ketika ditemui media selepas menyerahkan memorandum tuntutan isu e-hailing dan p-hailing kepada pihak MOT pada Isnin. - Foto: Bernama

Oleh kerana tidak tahan dikenakan kadar tambang tidak adil, Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) bertindak menghantar memorandum yang mengandungi 21 tuntutan kepada MOT.

Antara tuntutan utama TPAD adalah mendesak MOT dan kerajaan menetapkan kadar komisyen 15 peratus dan upah lebih munasabah bagi setiap kerja penghantaran yang berjaya diselesaikan mereka.

Mereka juga menuntut supaya kerajaan memperkenalkan kadar bayaran perlindungan insurans minimum kepada pemandu, pampasan kemalangan munasabah, subsidi atau rebat tol ditanggung oleh syarikat serta penghapusan penalti pembatalan tempahan.

Presiden TPAD, M Nathan (depan dua, kanan) menunjukkan memorandum tuntutan isu e-hailing dan p-hailing kepada pihak MOT pada Isnin. - Foto Bernama

Selain itu, TPAD menuntut MOT membatalkan sistem penerimaan tempahan secara automatik yang bukan hanya menyusahkan, malah merugikan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing ketika ini.

Mereka turut menuntut agar perlindungan insurans diperluaskan kepada pemandu gig sepanjang masa dan bukan hanya waktu ketika melakukan tugasan, selain dapat melindungi pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan disebabkan pemandu atau penghantar.

Justeru, sebagai seorang pemimpin dianggap wira rakyat Palestin, Perdana Menteri diharapkan dapat mengarahkan MOT agar duduk semeja dengan komuniti e-hailing dan p-hailing demi mencari titik penyelesaian tuntas.