BEIJING - Gara-gara tidak tahan dimarah untuk menyiapkan kerja sekolah, seorang budak lelaki memecah rahsia besar bapanya yang menyimpan bunga popi kering dengan melaporkannya kepada polis.
Di China, persaingan sengit dalam peperiksaan untuk layak masuk ke kolej atau universiti telah mendorong guru memberi banyak kerja sekolah untuk disiapkan di rumah.
Begitupun amalan sedemikian secara tidak sengaja menyebabkan hubungan keluarga menjadi renggang dan menjejaskan mental ibu-bapa, ketika waktu peperiksaan.
Kanak-kanak lelaki yang nama tidak didedahkan itu ditegur bapanya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Ketika sedang dimarahi bapanya, dia meluru keluar dari rumah dan menuju ke kedai runcit untuk meminjam telefon untuk mengubungi polis.
Budak itu membuat laporan bahawa bapanya menyimpan bunga popi kering secara haram di rumah.
Polis yang menuju ke rumah budak lelaki itu selepas menerima laporan telah menjumpai bahan terlarang dan bapanya mengaku menyimpan untuk tujuan perubatan.
Kes itu diserahkan kepada unit antinarkortik untuk siasatan lanjut. - Agensi