SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pengunjung cedera akibat terkena pelampung yang terjatuh daripada permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema di Seksyen 7 di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu laporan polis dibuat kira-kira jam 1.08 pagi pada Jumaat.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam, Rabu lalu ketika mangsa berumur lingkungan 20-an itu mengunjungi taman tema berkenaan bersama keluarga.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa melintasi bahagian bawah permainan gelongsor air berkenaan sebelum pelampung terjatuh dari penyangkut dan terkena pada bahagian sisi tubuh mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa kemudiannya menerima rawatan di salah sebuah klinik di Seksyen 16, Shah Alam.
"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius.
"Semakan turut mendapati Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kompaun bertarikh 14 November 2024 atas kesalahan pembinaan taman tema tanpa kelulusan bertulis dari pihak MBSA," katanya.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Mohammad Tahar di talian 014-5130450," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran mendakwa seorang pengunjung di sebuah taman tema di Seksyen 7, Shah Alam cedera akibat terkena pelampung yang terjatuh.
Pelampung itu didakwa terjatuh dari permainan gelongsor air yang terdapat di taman tema terbabit.