YASHIO - Usaha menyelamatkan seorang pemandu trak berusia 74 tahun sudah memasuki hari ketiga, selepas kenderaannya terjunam ke dalam lubang benam atau ‘sinkhole’ berhampiran Tokyo pada Selasa.
Menurut laporan The Japan Times, pihak berkuasa pada Khamis berkata, gua-gua tambahan di lubang benam di wilayah Saitama telah menyebabkan usaha penyelamatan terpaksa ditangguh kerana keadaan kawasan yang tidak stabil.
Runtuhan pertama berlaku pada jam 9.50 pagi waktu tempatan di bandar Yashio dan mencipta jurang kira-kira lima meter (m) lebar dan 10 m dalam.
Kenderaan seberat 1,800 kilogram itu telah terjunam ke dalam lubang benam dan mangsa atau pemandunya tersepit oleh keadaan tersebut.
Usaha mengeluarkan pemandu menggunakan kren telah bermula pada Selasa tetapi terhenti apabila bahagian jalan berhampiran runtuh pada awal Rabu.
Menurut NHK, anggota penyelamat mendengar pemandu bertindak balas pada 1 tengah hari waktu tempatan pada Selasa, sebelum terputus hubungan dengan mereka.
Dalam pada itu, bandar Yashio juga telah mengeluarkan arahan pemindahan untuk 200 isi rumah kerana kebimbangan kebocoran saluran paip gas yang semakin meningkat.
Lubang benam tersebut dipercayai berpunca daripada paip pembetung pecah yang mengalir di bawah jalan itu.