SHAH ALAM - Sepertimana rakyat jelata sedia maklum, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim cukup dikenali sebagai seorang yang berwibawa, berani dan tegas.
Namun, di sebalik sifat-sifat tersebut terdapat lagi sisi menarik Seri Paduka Baginda yang belum diketahui umum.
Perkara tersebut dikongsi oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini yang berpengalaman bertugas selama 18 tahun di Istana Negara.
Menurut Azuan Effendy, sepanjang setahun bertugas di Istana Negara Sultan Ibrahim mungkin nampak tegas dari sudut pandangan luaran, namun sebenarnya Seri Paduka Baginda seorang yang mudah tersentuh dan memiliki empati sangat tinggi terhadap kesusahan rakyat.
Beliau berkata, ada masanya Seri Paduka Baginda menitiskan air mata apabila melawat atau berjumpa dengan individu dalam kesusahan.
Azuan Effendy turut bercerita peristiwa bertemu dengan rakyat yang pernah dibantu Sultan Ibrahim.
Menurutnya, pertemuan itu berlaku di Bahrain ketika dalam kunjungan sebagai salah seorang utusan bagi mempersembahkan warkah persilaan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja Bahrain.
Jelas beliau, dalam masa sama mempunyai kesempatan bertemu rakyat Malaysia di sana.
"Ada individu datang berjumpa dengan saya dan minta sampaikan junjungan kasih kepada Tuanku. Dia kata Tuanku mungkin tidak kenal dirinya tetapi anak-anaknya berjaya atas sebab belas kasihan Seri Paduka Baginda.
"Katanya, pada masa itu dia tiada duit untuk menghantar anaknya bagi menyambung pelajaran ke luar negara dan telah menghantar surat kepada setiausaha sulit Tuanku bagi memohon bantuan.
"Alhamdulillah, Tuanku berkenan secara sepenuhnya memberi bantuan kewangan supaya anaknya dapat melanjutkan pelajaran walaupun Seri Paduka Baginda tidak mengenali individu tersebut.
"Begitulah tingginya empati Tuanku yang sangat terkenal dengan sifat pemurah. Lihat sahaja di Johor, banyak yayasan telah ditubuhkan. Hingga kini, Sultan Ibrahim gemar menyumbang kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum," katanya kepada Sinar Harian.
Azuan Effendy berpendapat, rakyat Malaysia sangat bertuah kerana memiliki raja berkredibiliti tinggi dan mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang baik.
Beliau berkata, selain sentiasa cakna dan prihatin kepada rakyat, Seri Paduka Baginda juga tegas dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan soal negara.
"Sultan Ibrahim suka membuat teguran tanpa berselindung. Tujuan utama Tuanku hanyalah mahu memperbetulkan perkara yang salah.
"Tuanku juga suka mengingatkan semua pegawai istana agar bekerja dengan penuh integriti dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik termasuk penyelewengan amanah,” ulas beliau.
Azuan Effendy memberitahu, selain gemar memandu kereta, Sultan Ibrahim juga mahir mengemudi bot, kapal terbang, helikopter dan paling istimewa pandai memasak.
"Tuanku mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang termasuk teknikal, ketenteraan, seni bina, landskap bahkan kraf tangan.
"Inilah raja yang diperlukan negara iaitu berpengetahuan luas dan terperinci dalam pelbagai perkara,” jelasnya.