KOTA BHARU - Agrobank menjalinkan kerjasama dengan majlis agama islam negeri di seluruh negara bagi membantu masjid dan asnaf terpilih menjana pendapatan.
Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia melibatkan projek tanaman kelapa di Perlis, nanas di Terengganu dan Pahang, fertigasi cili di Selangor dan projek pertanian lain di Pulau Pinang.
"Kelantan menjadi perintis kepada projek ternakan ikan menggunakan teknologi bioflok sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau turut sama hadir pada Majlis Perasmian Rumah Ternak Ikan An-Nisa' di mana Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan mencemar duli merasmikan program tersebut.
Menurut beliau, Masjid D'Raja Tengku Aziza Tengku Hamzah dipilih sebagai lokasi pertama dengan memperkenalkan Rumah Ternak Ikan An-Nisa’.
Katanya, projek berfasa yang diadakan sehingga Jun nanti itu turut melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebagai badan yang akan memilih empat lagi masjid untuk menjalankan projek sama.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, masjid yang terlibat selepas ini akan dipilih dari jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Machang.
Ujarnya, program ini nanti diharap dapat menjana pendapatan masjid pada masa yang sama mengaktifkan komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, sebanyak 1,500 ekor ikan tilapia telah dilepaskan di dalam kolam ternakan dan ia dijanga mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk dipasarkan.
"Kami mensasarkan pihak masjid akan menuai hasil sekitar 500 kg (kilogram) ikan.
"Teknologi bioflok merupakan inovasi yang mentransformasikan industri akuakultur melalui kaedah pengurangan pertukaran air menerusi adaptasi pemprosesan sisa domestik," katanya.
Ujar beliau, spesies tilapia dipilih kerana kesesuaiannya dengan iklim tempatan dan permintaan pasaran yang memberangsangkan.