SUNGAI PETANI - Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes cubaan mencuri mesin basuh di Taman Kuala Muda, di sini, yang video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek yang berusia 36 tahun ditahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Beliau memaklumkan, anggota polis yang melakukan tugas rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) Echo menerima maklumat dari orang awam melalui telefon mengatakan ada tangkapan seorang lelaki oleh orang awam pada jam 9.20 pagi, Rabu di taman perumahan itu.
"Susulan itu, lelaki terbabit ditahan semula dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
"Suspek merupakan lelaki tempatan yang beralamat di Kulim," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau memaklumkan, suspek didapati memiliki rekod lampau termasuklah enam kes jenayah dan tiga kes dadah.
Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai membabitkan cubaan mencuri mesin basuh di sebuah kediaman di Taman Kuala Muda, di sini.
Menerusi video berdurasi 3 minit 27 saat itu, seorang lelaki didapati menunggang sebuah motosikal sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah.
Lelaki yang memakai topi keledar warna hitam itu kemudiannya cuba masuk dengan membuka pagar kediaman itu.
Selepas itu, lelaki itu dilihat menarik sebuah mesin basuh keluar dari rumah tersebut dan cuba membawa peralatan tersebut.
Bagaimanapun,cubaan mencuri mesin basuh terbabit tidak berhasil apabila dia kelihatan terkejut disergah penduduk sebelum berjaya ditahan orang awam.