Banjir: Lebih lima jam terperangkap dalam pacuan empat roda

Iklan
Empat beranak terperangkap dalam pacuan empat roda ketika melalui laluan ditenggelami banjir di Kampung Paris 2, Kinabatangan.

KINABATANGAN - Empat beranak termasuk dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih lima jam dalam kenderaan pacuan empat roda ketika meredah laluan ditenggelami banjir di Kampung Paris 2 di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, pasangan suami isteri bersama dua anak perempuan mereka dalam perjalanan keluar dari kawasan kebun kelapa sawit.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.56 tengah malam.

Katanya lagi, seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh di 40 kilometer dari BBP Kinabatangan.

Iklan
Pasukan bomba menggunakan tali untuk menyelamatkan empat beranak terperangkap dalam pacuan empat roda ketika melalui laluan ditenggelami banjir di Kampung Paris 2, Kinabatangan.

"Ketika kejadian itu, kampung tersebut telah dilanda banjir dan empat beranak tersebut cuba keluar dari kawasan kebun kelapa sawit untuk pulang ke rumah.

"Air banjir ketika itu berada pada paras kedalaman satu meter yang menyebabkan mereka terperangkap selama beberapa jam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.47 pagi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Katanya lagi, usaha mengeluarkan kesemua mangsa segera dilakukan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas.

"Anggota bertindak menggunakan tali untuk menyelamatkan kesemua mangsa kerana keadaan arus yang deras untuk mereka menyeberang ke tempat yang selamat.

"Kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari kenderaan dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.15 pagi," katanya.

Pasangan suami isteri bersama dua anak perempuan mereka dalam perjalanan keluar dari kawasan kebun kelapa sawit.

Sementara itu, menurut rekod laman sesawang Info Bencana JKM setakat jam 12 tengah hari mencatatkan seramai 3,613 mangsa banjir daripada 1,222 ketua isi rumah dipindahkan ke 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sabah.

Setakat ini juga, sebanyak 10 daerah terjejas akibat banjir iaitu Kota Marudu, Telupid, Kota Belud, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.