Terpaksa tunggu dua jam gara-gara tren terlanggar penceroboh

Iklan
Tangkap layar video TikTok milik Siti Zalina di mana penumpang diminta turun daripada tren berkenaan.

SHAH ALAM - Perjalanan seorang wanita ke tempat kerjanya tergendala apabila tren Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dinaikinya tiba-tiba berhenti akibat terlanggar lima lelaki yang menceroboh ke landasan pengangkutan tersebut.

Menerusi perkongsian TikTok milik oyen_inafeezan atau Siti Zalina berkata, kejadian berlaku pada jam 7 pagi itu menyebabkan dia bersama penumpang lain terpaksa menunggu dua jam sebelum dibenarkan keluar daripada tren berkenaan.

Iklan
Iklan

"Awalnya saya ingatkan masalah biasa sahaja kerana memang selalu KTMB berhenti tetapi kali ia ambil masa lama sangat.

"Waktu itu, saya sudah nampak pekerja KTMB suluh lampu dan memeriksa keadaan bawah tren, kemudian kenderaan polis pula datang.

Iklan

"Tidak lama selepas itu ada pengumuman KTMB yang memberitahu pihaknya sedang menunggu ambulans untuk bawa mayat keluar. Dari situ semua baru tahu ada orang kena langgar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

KTMB dalam kenyataan pada Selasa berkata, seorang maut, manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan KTMB di laluan antara Teluk Pulai dan Klang pada pagi Selasa.

Iklan

Menurut kenyataan tersebut, tren Komuter No 2110 yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada jam 6.39 pagi membawa 200 penumpang terpaksa berhenti selepas melanggar penceroboh itu di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

Ujar Siti Zalina yang juga eksekutif sebuah syarikat swasta, dia terpaksa memohon kebenaran bekerja dari rumah ekoran insiden tersebut.

Mengulas situasi penumpang dalam tren, Siti Zalina berkata, kebanyakan mereka masih kekal tenang dan tidak berlaku kekecohan sewaktu kejadian berkenaan.

"Suasana tidak panik, cuma ramai yang cuba tengok keadaan luar tren itu sebab lama sangat kami tunggu tetapi tidak beritahu apa yang jadi.

"Jadi mungkin ramai yang macam tertanya-tanya apa yang berlaku," ujarnya.

Ulasnya, selepas keluar dari tren tersebut, mereka perlu berjalan lebih kurang 200 meter untuk sampai ke stesen terdekat iaitu stesen Klang.

"Daripada stesen Klang, ada disediakan bas perantara ke stesen Subang Jaya.

"Saya tidak naik bas itu kerana balik rumah. Jadi suami ambil saya dari stesen Klang sahaja," katanya.