Covid-19: Jurujual pakaian dipenjara seminggu, denda RM1,000

Iklan
629827

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual pakaian warga Indonesia dihukum penjara seminggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebar berita palsu mengenai koronavirus (Covid-19) awal bulan ini.

Majistret Wong Chai Sia membuat keputusan itu selepas tertuduh, Fui Lina, 31, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu membuat kenyataan dalam bahasa Mandarin di laman sosial Facebook atas nama Kimiko Yang dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Kesalahan dilakukan di Taman Danau Kota, Setapak di sini pada 1 Februari lalu jam 9.55 malam.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Terdahulu tertuduh memohon agar mahkamah memberi hukuman denda yang rendah tanpa penjara memandangkan dia perlu menjaga anak yang berusia enam tahun.

Bagaimanapun Wan Ahmad Hakimi membantah kerana kesalahan berkenaan adalah serius selain memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak menyebar berita palsu.