Ahmad Zahid meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) hadir Rumah Terbuka MCA Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Wisma MCA pagi ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini pada Rabu.

Menggayakan baju batik, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tiba pada 9.30 pagi dan disambut mesra oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, selaku tuan rumah.

Iklan
Iklan

Sejurus tiba, beliau bersama barisan kepimpinan MCA mengambil bahagian dalam acara tradisi menggaul ‘yee sang’, yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan bagi masyarakat Cina.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan muzik dan tarian kebudayaan masyarakat Cina, menambahkan lagi suasana ceria rumah terbuka tersebut.

Iklan

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Seawal 8 pagi, orang ramai sudah mula berkumpul di perkarangan Wisma MCA untuk turut serta dalam sambutan ini. Kemunculan tarian singa yang diiringi paluan gendang Cina dan bunyi mercun semakin menceriakan suasana.

Iklan

Tetamu juga dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti mihun goreng, rendang, teh cina, aneka kuih dan limau mandarin, melambangkan tradisi jamuan dalam perayaan ini.

Tahun Baharu Cina bukan sekadar menandakan permulaan baharu bagi masyarakat Cina, tetapi juga menjadi wadah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan menerusi majlis rumah terbuka yang diraikan bersama. - Bernama