Cikgu jangan ambil mudah peringatan menteri

Iklan
Menteri Pendidikan mengingatkan kepada guru-guru supaya mematuhi garis panduan jika mahu melakukan kerja sambilan wajar diberi perhatian serius. - Foto Pexels

PERINGATAN Menteri Pendidikan kepada guru-guru supaya mematuhi garis panduan jika mahu melakukan kerja sambilan wajar diberi perhatian serius.

Memahami dalam era ekonomi yang mencabar, tidak salah guru mencari pendapatan tambahan seperti berniaga dalam talian mahupun mengadakan kelas tuisyen.

Iklan
Iklan

Namun, harus diingat, ia bukanlah lesen kepada golongan pendidik bebas melakukan kerja sampingan tanpa kawalan.

Amanah yang tergalas di bahu individu bergelar ‘cikgu’ bukan hanya terhad kepada waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Iklan

Ia menuntut komitmen jangka panjang termasuk merancang strategi pembelajaran, membina kreativiti pelajar dan memastikan setiap anak didik mencapai potensi terbaik mereka.

Di samping itu, guru adalah pemangkin utama sahsiah pelajar.

Iklan

Peranan ini menjadikan tugas mereka bukan sekadar pekerjaan, tetapi tanggungjawab yang memerlukan dedikasi tanpa berbelah bahagi.

Oleh itu, bagi guru-guru yang memilih untuk melakukan kerja sambilan, penting untuk memastikan bahawa urusan kerja hakiki ini tidak diabaikan.

Kerja sambilan untuk mencari rezeki lebih sudah pasti bukanlah satu dosa. Malah, jika dilakukan dengan beretika, ia dapat membantu guru meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga.

Malah, guru juga mungkin boleh menyumbang kepada pihak sekolah dan murid sekiranya ada pendapatan lebih.

Pun begitu, fokus terhadap mendidik pelajar harus kekal menjadi keutamaan.

Jika masa kerja digunakan untuk urusan peribadi atau kerja sambilan, bukan sahaja kredibiliti guru itu akan terjejas, tetapi pelajar juga akan menjadi mangsa akibat kelalaian tersebut.

Di sini, peranan Kementerian Pendidikan (KPM) penting untuk memastikan garis panduan yang jelas dan adil dapat dilaksanakan. Guru perlu dilengkapi dengan panduan dan sokongan agar terus menjalankan tugas dengan komitmen yang tinggi.

Kesimpulannya, dasar sedia ada adalah satu langkah yang tepat untuk mengawal selia kerja sambilan dalam kalangan guru demi memastikan integriti profesion guru terus terpelihara.

Pada masa sama, kita perlu memahami bahawa guru juga berhadapan dengan cabaran ekonomi seperti individu lain.

Kepada para guru, kekalkanlah bersemangat untuk mendidik dan terus menjadi inspirasi kepada anak-anak bangsa.