KLUANG - Seorang anggota tentera di Kem Mahkota di sini, maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 72, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian pada 4.25 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Shahruddin A Rahim, 39, cedera parah di muka dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, nahas membabitkan kereta Proton Saga FL dipandu mangsa dengan treler jenis Isuzu.
"Hasil siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala treler dari arah bertentangan.
Menurut beliau, akibat pelanggaran yang berlaku itu, pemandu kereta mengalami cedera parah di muka dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
"Lelaki berusia 40 tahun yang memandu treler terbabit cedera ringan di muka dan dada sebelum dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom untuk medapatkan rawatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Nuzul Azroy berkata, sembilan anggota dengan kekuatan sebuah jentera ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
"Pemandu kereta berkenaan tersepit dan anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis.
"Operasi ditamatkan pada jam 5.24 petang," katanya.