SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf membuka Tabung Infak sempena penganjuran program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2025 yang akan berlangsung menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Firdaus Hussamuddin berkata, sumbangan daripada badan korporat dan peribadi untuk dana tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan lebih banyak makanan percuma dapat disediakan kepada pengunjung yang hadir pada acara berkenaan.
Ujar Firdaus, pihaknya menyasarkan kehadiran 1,500 pengunjung setiap hari sempena program yang diadakan di Dataran Karangkraf itu.
"Kami mengalu-alukan sumbangan dari semua pihak bagi menambah baik kelengkapan berbuka dan kemudahan sedia ada agar lebih selesa.
"Kita sudah ada peruntukan sendiri tapi jika ada tambahan dana luar, lebih ramai boleh makan percuma.
"Ia juga membolehkan kami membeli makanan yang lebih berkualiti memandangkan kos makanan agak tinggi sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Acara berkenaan akan berlangsung pada 3 hingga 27 Mac tahun ini bermula jam 6 petang setiap hari kecuali cuti umum, Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, acara tersebut diadakan bagi membantu golongan memerlukan untuk berbuka puasa bersama-sama dan merapatkan silaturahim sesama masyarakat.
"Program ini juga membantu mahasiswa dari kolej atau universiti berdekatan, golongan ibu tunggal, orang susah dan kepada mereka yang tidak sempat balik ke rumah untuk berbuka bersama keluarga,” ujarnya.
Kata Firdaus, penganjuran acara tahun ini turut menyaksikan beberapa gerai tambahan akan dibuka untuk jualan dengan harga berpatutan.
"Untuk sumbangan infak dalam bentuk wang ringgit atau makanan oleh individu, organisasi atau syarikat boleh disalurkan melalui kod QR Sinar Karangkraf atau TABUNG INFAQ IFTAR di nombor 564276 529068 akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd,” jelasnya.