SELEPAS memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Abd Ghani tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya terus melangkah ke depan bagi melaksanakan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Pelbagai gerak kerja telah dilakukan oleh Mohd Azmawi atau lebih mesra dengan panggilan Awie sehingga menyaksikan kehidupannya berubah secara total.
Ikuti temubual Awie yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan bersama wartawan Sinar Harian, HAZELEN LIANA KAMARUDIN.
SINAR HARIAN: Selepas 100 hari dipilih sebagai ADUN, berapa peratus aku janji yang telah dilaksana oleh YB?
Mohd Azmawi Fikri: Dalam PRK lalu, Barisan Nasional mengambil pendekatan berbeza apabila tidak melancarkan manifesto sebaliknya memberikan satu tawaran berkhidmat kepada rakyat.
Pertama, meningkatkan kebajikan rakyat di mana saya memberi tumpuan untuk membantu golongan yang memerlukan, termasuk ibu tunggal, anak yatim, warga emas, pelajar dan golongan B40 melalui program bantuan sokongan, agihan bakul makanan dan pendidikan.
Kedua, memperjuangkan kemudahan asas seperti jalan perhubungan desa dan jalan pertanian. Oleh itu, kita sedang berusaha untuk meningkatkan lagi projek-projek naik taraf infrastruktur ini yang telah mula dilaksanakan secara berperingkat.
Ketiga, mendengar dan bertindak melalui aduan rakyat dengan cara tberjumpa terus dengan rakyat melalui aktiviti ziarah dan santai di kedai-kedai kopi.
SH: Sebelum ini YB ada sebut hendak jadikan kedai kopi sebagai kaunter aduan dan maklumat bagi masalah rakyat. Bagaimana keberkesanannya?
Amalan santai bersama rakyat di kedai kopi ni dah jadi aktiviti saya sebelum jadi YB lagi dan sampai sekarang saya terus lakukannya kerana ia dapat mengurangkan rasa kekangan formal dan membolehkan rakyat bersuara dengan lebih selesa.
Saya dapati cara ini telah membuka lebih banyak saluran komunikasi kepada rakyat, terutamanya mereka yang segan atau kurang kesempatan untuk hadir ke pejabat secara rasmi. Melalui cara ini, banyak isu tempatan berjaya dikenal pasti dan diselesaikan segera. Selain itu, juga dapat selesaikan dan tangani.
SH: Rakyat Nenggiri meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan. Setakat ini apa usaha yang telah dilakukan oleh YB?
Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk memenuhi amanah ini dengan tindakan memperjuangkan keperluan demi kesejahteraan rakyat.
Projek naik taraf kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya seperti membantu dan menurap juga dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat bagi jalan perhubungan desa serta jalan pertanian.
Bantuan juga diberikan kepada ibu tunggal, warga emas dan asnaf yang juga golongan memerlukan. Pada masa sama, kita juga telah mengenal pasti rakyat miskin yang memerlukan bantuan baik pulih dan bina rumah baharu.
SH: Masyarakat Orang Asli sememangnya mengharapkan pembelaan ke atas nasib mereka, terutama berkaitan dengan kemudahan. Pandangan YB?
Masyarakat ini adalah bahagian penting daripada identiti dan kekuatan kawasan kita. Memastikan kebajikan mereka terpelihara adalah tanggungjawab saya sebagai pemimpin. Saya melihat ada beberapa kawasan mereka yang mempunyai isu kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang mana ia masih menjadi cabaran utama.
Oleh itu, saya sedang berusaha untuk memperjuangkannya bagi meningkatkan akses kemudahan ini ke kawasan penempatan Orang Asli yang terlibat. Saya percaya, pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli bukan sekadar memenuhi keperluan asas tetapi juga memastikan mereka dihormati, diberi peluang yang sama rata dan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat kita.
SH: Apa kelebihan Nenggiri?
Nenggiri kaya dengan hasil alam seperti tanahnya yang subur untuk pertanian, kawasan berbukit yang berpotensi untuk pelancongan, dan sumber air yang boleh dimanfaatkan secara lebih produktif. Pertanian dan penternakan sudah menjadi asas ekonomi kawasan ini dan dengan pengenalan teknologi moden serta kaedah pertanian lestari, hasil ekonomi daripada sektor ini boleh dimaksimumkan.
Projek agropelancongan juga boleh memajukan sektor pertanian dan pelancongan dengan memberi peluang kepada petani untuk menjana pendapatan tambahan. Selain itu, kekayaan budaya dan adat resam masyarakat seperti Orang Asli juga adalah aset yang boleh dimanfaatkan dalam sektor pelancongan, kesenian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Produk kraftangan dan hasil seni tradisional boleh dipromosikan sebagai produk komersial untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Peningkatan kemahiran melalui latihan keusahawanan dapat memperkasa masyarakat untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.
Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk mengoptimumkan kekuatan ini melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang berimpak tinggi, demi memastikan ekonomi Nenggiri terus berkembang, masyarakatnya sejahtera dan sumber alamnya dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang.
SH: Pencemaran sungai memberikan kesan kepada aktiviti nelayan? apa usaha YB bagi mengatasi masalah ini?
Sebagai wakil rakyat, saya mengambil serius isu ini dan kita sedaya upaya sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai. Kempen kesedaran bersama agensi terlibat dan NGO serta sekolah telah dirangka untuk mendidik masyarakat tentang kesan negatif pencemaran dan cara mengelakkannya seperti pengurusan sisa buangan dengan lebih berkesan.
Saya juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa agar undang-undang berkaitan pencemaran sungai diperketatkan, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kebersihan sungai seperti membuang sisa toksik ke sungai.
SH: Adakah YB masih meneruskan aktiviti ziarah mingguan?
Ya, saya masih meneruskan aktiviti ziarah mingguan seperti biasa. Program ini adalah salah satu cara untuk saya mendekati rakyat secara langsung, memahami isu-isu yang mereka hadapi dan memberikan sokongan moral serta bantuan diperlukan. Aktiviti ini bukan sekadar simbol keprihatinan tetapi juga cara saya memastikan hubungan erat antara wakil rakyat dan komuniti sentiasa terjalin.
Saya percaya, turun padang secara konsisten adalah kunci untuk memahami realiti sebenar kehidupan rakyat, terutama di kawasan luar bandar seperti DUN Nenggiri ini. Ziarah ini juga memberikan peluang kepada saya untuk terus mendengar keluhan, harapan dan pandangan rakyat secara langsung.
Ziarah rakyat ini melibatkan mereka yang diuji dengan sakit dan ahli keluarga yang meninggal dunia, ditimpa musibah serta mereka yang memerlukan. Insya-ALLAH, inilah komitmen saya untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.