SHAH ALAM - Pembentukan karakter yang berintegriti tinggi, amanah dan bertanggungjawab merupakan benteng utama penolakan kepada aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, pembinaan nilai moral dan karakter individu sangat penting kerana ia membantu memerangi jenayah rasuah dan korupsi di negara ini.
Menurutnya, jenayah rasuah dalam apa jua bentuk perlu ditamatkan segera sebelum ia mengundang bahaya dan terus mengancam kestabilan ekonomi negara yang sedang pesat membangun ini.
"Semua pihak perlu menjalankan etika kerja yang tinggi dan pematuhan undang-undang menjadi asas serta perkara pokok demi memastikan Malaysia bebas pengaruh rasuah.
"Saya yakin dengan usaha berterusan pasti akan membuahkan hasil yang diperlukan. Jika semua pihak menjalankan tugas dengan penuh profesional dan meletakkan kepentingan awam di tahap tinggi tentulah kes rasuah dan salah guna kuasa dapat dihentikan demi kesejahteraan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman dua orang individu termasuk seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000.
Sumber berkata, rasuah tersebut diterima daripada syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat-syarikat itu mendapatkan kelulusan yang dipohon.
Kata sumber, perintah reman selama enam hari sehingga Ahad telah dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.
Tambah Hamdan Daniel, jenayah rasuah juga ancaman kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
"Kemakmuran ekonomi negara sepatutnya dinikmati seluruh rakyat bukannya sewenang-wenangnya di ambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertangungjawab.
"Rakyat terus memerhati dan mengharapkan budaya rasuah dapat dibenteras segera. Justeru, semua pihak memainkan peranan dan punya tanggungjawab bersama. Semoga Malaysia merdeka dari jenayah rasuah," katanya.