TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa (BP) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki dipercayai penyeludup minyak masak peket dalam serbuan di Pengkalan Kubor, di sini pada Sabtu.
Rampasan 96 kotak barangan bersubsidi seberat 1,632 kilogram itu dilakukan melalui Ops Bersepadu antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan.
Iklan
Iklan
Jurucakap PPM berkata, bertindak atas maklumat awam, mereka telah menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat minyak masak peket bernilai hampir RM24,080 di dalam premis serta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.
"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya semasa dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, PPM Wilayah Tiga sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan demi menjaga keselamatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Ujarnya, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim dan rentas sempadan dengan menghubungi talian 09-5137726 atau melalui e-mel: gerakanw3@gmail.com.