SHAH ALAM - Potongan harga sehingga 20 peratus bagi naskhah al-Quran menanti pengunjung yang ingin mendapatkan kitab suci tersebut sepanjang Jualan Gudang Karangkraf 2025 berlangsung.
Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziana Omar berkata, diskaun tersebut melibatkan pelbagai edisi al-Quran yang boleh dibeli sebagai hadiah atau kegunaan sendiri.
"Al-Quran Amazing sebelum ini berharga RM145 tetapi diskaun sempena jualan gudang kini hanya RM100.
"Bagi al-Quran Amazing per jilid harga asalnya RM210 tetapi dengan potongan harga pengunjung boleh dapatkan RM145 sahaja,” katanya pada Jumaat.
Dibuka seawal jam 9 pagi hingga 7 malam, pelbagai aktiviti disajikan selain kemudahan seperti surau, reruai jualan makanan dan parkir percuma.
Tambah Roziana, bagi pengunjung tidak berkesempatan hadir sepanjang jualan gudang diadakan, mereka masih boleh menikmati tawaran diskaun sama di kedai-kedai buku yang ada di pasaran.
Sementara itu, majlis pelancaran Novel Alaf 21 ke Novel Karangkraf akan diadakan pada Sabtu sebagai jenama baharu produk Grup Buku Karangkraf.
Majlis yang akan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin turut dihadiri beberapa pempengaruh buku terkenal antaranya @aishreads, @gadisbaca, @mija.reads dan @mihaisbae.