BEAUFORT - Beberapa individu nyaris digilis kereta api apabila troli yang diubah suai sebagai kenderaan pengangkutan berlanggar dengan kereta api dalam kejadian di Kampung Halogilat di sini pada Khamis.
Difahamkan kejadian berlaku pada jam 9 pagi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera selepas beberapa individu tersebut mengambil tindakan pantas dengan melompat keluar dari kenderaan tersebut sebelum bertembung dengan kereta api.
Kejadian itu turut dirakam dan videonya ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak Khamis yang memaparkan keadaan troli terperosok di bawah kereta api.
Dalam video berdurasi satu minit 57 saat itu, beberapa individu memaklumkan mereka terpaksa terjun dan ada sebahagiannya nyaris bertembung dengan kereta api kerana lambat bertindak.
Namun semuanya dalam keadaan selamat tetapi masih panik dan terkejut akibat kejadian itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Mail Sundongi ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.
"Laporan ada dibuat oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) iaitu kejadian kereta api melanggar troli, namun kes ini disiasat oleh JKNS sendiri.
"Sebagai makluman, kes kemalangan melibatkan kereta api sekiranya menyebabkan kematian atau kecederaan parah, barulah disiasat oleh pihak polis," jelasnya.
Untuk rekod, troli yang digunakan adalah alat yang diubah suai untuk dijadikan pengangkutan alternatif kepada penduduk sekitar untuk keluar ke pekan berhampiran.