Feri Sri Tanjong 1 beroperasi di Jeti JKR Pengkalan Kubor mulai Mac

Iklan
Ahmad (tiga, kiri) bergambar bersama Feri Sri Tanjong l pada Majlis Peluncuran Feri Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tujuan Ujian dan Latihan di Jicore Group Incorporated (M) Sdn Bhd pada Khamis. Foto Bernama

LUMUT - Feri Sri Tanjong I yang bernilai kira-kira RM8 juta dijangka beroperasi secara rasmi di Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor, Kelantan pada Mac.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan feri sepanjang 33 meter itu bermula pada 1 Mac 2024 dan siap sepenuhnya pada 28 Februari tahun sama.

Iklan
Iklan

"Sebelum beroperasi, feri ini akan memulakan tempoh pengujian dari 24 Januari hingga 7 Februari manakala tempoh Program Latihan Operasi dan Penyelenggaraan Feri dijadual pada 10 hingga 16 Februari.

"Ia diikuti dengan penghantaran ke Pengkalan Kubor dan akan meneruskan tempoh penyesuaian dari 23 hingga 28 Februari sebelum beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Feri Sri Tanjong 1 di sini pada Khamis.

Iklan

Feri jenis roro yang dilengkapi teknologi mesra alam itu mampu menampung hingga 58 penumpang, enam kru feri, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat lori lima tan atau dua buah lori 10 tan.

Beliau berkata, kejayaan projek ini membuktikan keberkesanan hasil kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta bagi membangunkan kemudahan berkualiti tinggi selaras piawaian antarabangsa.

Iklan

"Kita akan terus komited memainkan peranan penting dalam memastikan feri ini diselenggara dengan baik bagi menjamin penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” katanya. - Bernama