SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf yang pertama untuk tahun 2025 bakal menemui peminat buku, novel dan al-Quran terbitan Karya Bestari bermula esok hingga 2 Februari ini.
Eksekutif Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Sabilan berkata, pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun sebanyak 15 hingga 80 peratus malah pelbagai aktiviti menarik turut disajikan sepanjang program berlangsung.
"Kita ada aktiviti pada cuti umum seperti pertandingan mewarna, Seminar Karyawan GIG Karangkraf dan pelbagai lagi. Malah, 10 pembeli terawal turut akan mendapat Surpise Book setiap hari.
"Keistimewaan pada kali ini adalah dengan minimum perbelanjaan sebanyak RM80, pengunjung secara automatik layak untuk menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah istimewa bernilai RM2,000," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Muhamad Khair memaklumkan, peminat buku juga dapat menikmati buku serendah RM5 dan harga terendah kombo al-Quran bersama beg dan rehal hanya RM129, RM159 dan RM179.
Ujarnya, pengunjung juga berpeluang mendapat diskaun sebanyak 20 peratus bagi buku baharu Sooting The Soul: Hadis Yang Menyembuh yang menghimpunkan 100 hadis pilihan.
"Jadi, orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara sulung untuk tahun ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 24 Januari hingga 2 Februari pada jam 9 pagi hingga 7 malam.
"Manfaatkan cuti sekolah sebaiknya bersama rakan dan keluarga ke Jualan Gudang Karangkaf. Pelbagai kemudahan tersedia seperti surau, reruai jualan makanan dan tempat letak kereta percuma," katanya.