HONG KONG – Pihak berkuasa kebersihan makanan di sini mengeluarkan notis amaran kepada sebuah kedai roti tempatan.
Tindakan itu dibuat susulan tular gambar pekerja menggunakan mop lantai untuk membersihkan rak roti di media sosial.
Gambar dimuat naik dalam satu hantaran di Facebook oleh seorang penduduk, Tsz Wan Shan pada 21 Januari lalu jelas menunjukkan kekesalannya terhadap pekerja kedai roti berkenaan di sebuah pusat membeli belah di sini.
Wan Shan tidak menyangka pekerja berkenaan tergamak menggunakan mop lantai untuk mengelap rak kosong sebelum meletakkan roti yang bakal dijual.
Gambar itu pantas tersebar di pelbagai platform media sosial dengan orang ramai menyuarakan kebimbangan terhadap reputasi kedai roti berkenaan.
Biarpun mop yang digunakan mungkin khusus untuk membersihkan rak, budaya dan tanggapan masyarakat setempat mengaitkan mop dengan pembersihan lantai menyebabkan timbulnya pelbagai kritikan orang ramai.
Susulan kejadian itu, kedai roti terbabit telah mengeluarkan permohonan maaf dan mengakui bahawa tindakan pekerja berkenaan tidak wajar.
Pihak kedai turut mengesahkan bahawa pekerja terlibat sudah meletakkan jawatan.
Selain itu, penduduk setempat melaporkan bahawa kedai roti tersebut telah menghentikan operasi selama sehari dan mengarahkan seorang pekerja wanita untuk membersihkan rak roti dengan menggunakan kain lap dengan lebih teliti. - Agensi