ALOR SETAR - Kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard di sini pada Selasa yang menyebabkan dua mangsa rentung diklasifikasikan sebagai kes bunuh angkara dendam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya berjaya menahan lima suspek lelaki selepas kejadian kebakaran berkenaan.
Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa warga emas, Ibrahim Mydin, 61.
"Suspek merupakan penagih dadah tegar dan polis kemudiannya menahan empat lagi suspek iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Myanmar berusia antara 19 hingga 53 tahun.
"Tiga daripada mereka juga positif dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini pada Rabu.
Fisol berkata, tiga daripada lima suspek yang ditahan disyaki suspek utama kejadian berkenaan.
"Salah seorang suspek iaitu anak saudara mangsa yang juga seorang penganggur tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.
"Penahanan suspek pertama dibuat hasil petunjuk laporan polis yang dibuat mangsa sehari sebelum kejadian berhubung kecurian telefon bimbitnya.
"Walau bagaimanapun, dia menarik balik laporan polis tersebut selepas suspek menyerahkan semula telefon bimbit itu," katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan di lokasi oleh pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol dan kesan petrol.
"Salah seorang suspek dipercayai mencurahkan petrol dan membakar rumah tersebut sehingga menyebabkan dua maut.
"Kelima-lima suspek kini direman sehingga 27 Januari depan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Pada Selasa, media melaporkan dua lelaki rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard.
Mangsa dipercayai warga emas berusia 61 tahun dan anak angkatnya berusia 23 tahun.
Identiti sebenar mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan berikutan keadaan mayat yang rentung.