Hindari 'scammer' umrah, usah percaya pakej murah

Iklan
Antara laporan Sinar Harian berhubung penipuan pakej umrah.

HATI mana yang tidak tersentuh mendengar rintihan seorang wanita warga emas yang begitu berhajat hendak menunaikan umrah tetapi telah ditipu.

Selama 15 tahun wanita berkenaan mengumpul wang, sanggup mengikut perut untuk merealisasikan impiannya ke Tanah Suci.

Iklan
Iklan

Malangnya, wang yang dikumpul dengan peluh dan keringat itu akhirnya lesap akibat ditipu oleh syarikat umrah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Betapa kecewanya dia. Impian beribadah di tanah haram berkubur bersama wang yang telah lebur.

Iklan

Kisah jemaah ditipu dengan syarikat umrah bukan pertama kali kita dengar, bahkan sudah berkali-kali.

Sepatutnya menjadi red flag kepada kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat umrah yang sanggup menunggang agama untuk melakukan penipuan.

Iklan

Ibadah pun orang boleh tipu. Apalah nilai agama Islam kepada mereka yang menyeleweng. Bagi mengatasi masalah tersebut, jemaah umrah perlu lebih berhati-hati.

Salah satu sebab kes berkenaan sering berlaku kerana jemaah sendiri yang menyokong penipuan itu.

Pertama sekali, jangan terpedaya dengan pakej murah yang tak masuk akal. Agak mustahil sekiranya pakej umrah ditawarkan di bawah RM5,000.

Logiknya kadar itu tak mampu nak tampung kos tiket penerbangan, kos tempat tinggal, kos di Makkah, lawatan ke Madinah dan lain-lain kos sampingan sepanjang tempoh menunaikan umrah itu.

Kedua, kepada bakal tetamu ALLAH, pilihlah syarikat atau ejen umrah atau haji yang sah yang telah ada track record mengurus perjalanan ibadah umrah dengan jayanya.

Agensi yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan menjadi ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) perlu dijadikan keutamaan.

Namun, berdaftar dengan MOTAC dan Papuh bukan jaminan tak kena scam. Daripada syarikat yang dah ada reputasi sehinggalah syarikat yang baru nak establish, beratus ribu duit jemaah umrah lesap.

Sangat penting untuk berhati-hati ketika memilih syarikat umrah. Bandingkan pakej daripada beberapa syarikat untuk memastikan tawaran yang berpatutan terlebih dahulu supaya perjalanan umrah lancar dan terhindar daripada penipuan.