KEPADA mereka yang masih mempunyai hutang puasa Ramadan tahun lalu, selesaikanlah dengan segera sebelum bulan mulia itu kembali.
Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah hutang puasa kedua ibu bapa atau waris kita.
Lazimnya kita mendengar anak menggantikan puasa untuk ibu bapanya yang sudah dijemput Ilahi.
Fakta itu dikuatkan lagi dengan pandangan Imam An-Nawawi yang menyatakan:"Dalam masalah ini, Imam Asy-Syafie memiliki dua pendapat yang masyhur. Pendapat pertama yang paling masyhur adalah tidak boleh digantikan puasa untuk orang mati dan tidak sah puasa tersebut pada asalnya.
"Pendapat kedua pula dianjurkan (mustahab) bagi walinya untuk berpuasa bagi si mati dan puasanya itu sah dan dengan puasa ini menghapuskan dosa orang mati serta tidak perlu diberi makan (fidyah) pada orang lain.
"Pendapat kedua ini merupakan pandangan yang sahih dan dipilih. Ia adalah pendapat yang disahkan oleh para ulama kami dalam kalangan ahli fiqh dan hadis sebagaimana hadis-hadis sahih dan yang jelas dalam hal ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1740: Ganti puasa untuk bapa yang masih hidup.
Ia sepertimana disebutkan menerusi hadis diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh warisnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam perihal fidyah, Maktabah Albakri menjelaskan, sebaiknya biarlah seseorang berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu.
"(Perbuatan) ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah hingga mengabaikan tuntutan qada,” katanya.