KOTA BHARU - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dijangka melancarkan aplikasi My SRS pada Mac depan bagi meningkatkan keberkesanan rondaan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, aplikasi itu turut memudahkan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) berhubung terus dengan pasukan polis sepanjang rondaan.
Beliau memberitahu, anggota yang bertugas boleh melaporkan secara terus kejadian yang berlaku kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
"My SRS boleh dimuat naik oleh semua anggota SRS melalui telefon pintar mereka dan pada masa sama kita dapat memantau rondaan, statistik dan pergerakan SRS di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Ronda Bersepadu SRS Dan Kempen 1 Rumah 1 Anggota SRS pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby.
Menurut Che Roslan, JPNIN akan memilih beberapa KRT untuk menjadi perintis dalam penggunaan aplikasi berkenaan.
Katanya lagi, sehingga Ogos tahun lalu, sebanyak 5,417 SRS ditubuhkan membabitkan hampir 100,000 keanggotaan di seluruh negara.
Jelas beliau sebanyak 478 SRS ditubuhkan di Kelantan dengan 473 KRT.
Dalam perkembangan lain, Che Roslan menjelaskan Kementerian Perpaduan Negara menyediakan peruntukan khusus untuk SRS berjumlah lebih RM3 juta tahun ini.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM837,500 diperuntukkan untuk pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan SRS.yang akan memberi manfaat kepada 119 Rukun Tetangga (RT).
Sebanyak RM2,175,00 diperuntukkan untuk pembekalan 69 kabin SRS baharu manakala RM231,692 pula bagi pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS.