7 bulan rumah terbiar, bumbung rosak akibat ribut belum dibaiki

Iklan
Pendawaian elektrik juga rosak akibat ribut pada Mei tahun lalu.

PASIR PUTEH - Bumbung rumah yang rosak akibat dipukul ribut pada Mei lalu belum dapat dibaiki menyebabkan empat sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara di Kampung Danan di sini sejak tujuh bulan lalu.

Buruh binaan, Wan Rozee Wan Ab Rahman, 49, berkata, dia tidak dapat membaiki bumbung rumahnya kerana tidak cukup wang berikutan kos yang diperlukan sehingga RM38,000 membabitkan kerosakan besar termasuk pendawaian elektrik.

Iklan
Iklan

"Saya sebelum ini bekerja di kilang di Selangor namun kilang itu berpindah ke Dubai, jadi saya pulang ke kampung dan baru sahaja bekerja sebagai buruh.

Wan Rozee menunjukkan rumahnya yang sudah tidak berbumbung.

"Bagaimanapun, rumah saya tidak dapat diduduki kerana keseluruhan bumbung rosak akibat dipukul ribut pada 31 Mei tahun lalu dan tidak mampu untuk dibaiki sehingga kini,” kata ketika ditemui di Kampung Danan di sini pada Jumaat.

Iklan

Wan Rozee memberitahu, rumah tersebut berkeluasan 92.9 meter persegi yang dibeli di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan didaftarkan atas nama isterinya, Tuan Nor Azizah Tuan Mat Zin, 50, pada 10 tahun lalu.

Bumbung bilik yang turut rosak dan tidak lagi selamat.

"Sebelum ini memang kami sekeluarga dapat tinggal dengan selesa di rumah yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air ini.

Iklan

"Kami juga masih membayar RM150 sebulan bagi harga keseluruhan RM40,000 rumah selepas ditolak subsidi kerajaan, tetapi sayangnya tidak dapat diduduki kerana kerosakan bumbung ini,” katanya.

Lebih menyedihkan, ujar bapa kepada empat anak itu, mereka tidak mempunyai tempat tinggal apabila adiknya akan pulang ke kampung untuk tinggal di rumah yang menjadi tempat mereka menumpang kini.

"Dua anak saya sudah bekerja di luar Kelantan.

Bumbung rumah yang tiada selepas dipukul ribut Mei tahun lalu.

"Tinggal saya, isteri dan dua lagi anak yang tidak tahu hendak tinggal di mana apabila adik saya bersama keluarganya pindah ke Kelantan selepas Aidilfitri nanti,” katanya.