Pengawal peribadi miliki lencana kolar berlogo PDRM diberkas

Iklan
Uniform milik pengawal peribadi terbabit yang didapati menggunakan lencana kolar berlogo PDRM.

SEPANG - Tindakan seorang pengawal peribadi memiliki baju yang mempunyai lencana kolar berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundang padah apabila diberkas di kawasan pusat-beli belah di Bandar Baru Salak Tinggi, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Gen2.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan sepasang uniform pengawal peribadi yang menggunakan lencana kolar berlogo PDRM.

"Suspek turut didapati gagal memberikan alasan munasabah ketika disoal atas tindakannya memiliki lencana PDRM berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

"Saringan air kencing dijalankan bagaimanapun mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada Rabu dan telah dijatuhkan hukuman denda atas kesalahan terbabit.