'Sedia dengar pandangan, cadangan rakyat'

Iklan
Sempena Town Hall anjuran Sinar Harian pada Jumaat ini, Wan Rosdy berhasrat untuk berkongsi perkembangan mengenai negeri Pahang termasuk pelan pembangunan ekonomi dan inisiatif kebajikan rakyat.

SHAH ALAM - Rakyat negeri Pahang berpeluang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan kepada menteri besar sempena program Town Hall anjuran Sinar Harian pada Jumaat ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rancangan itu menyediakan platform untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada komuniti secara terus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program berkenaan merupakan salah satu peluang baik untuk memahami keperluan dan harapan komuniti dengan lebih mendalam.

"Saya rasa amat berbesar hati apabila diundang sebagai tetamu dalam program ini lebihlebih lagi apabila konsepnya diperluaskan melibatkan menteri besar.

Iklan

"Inilah peluang terbaik untuk kita berinteraksi secara langsung, bertukar pandangan dan berbincang tentang masa hadapan negeri kita,” katanya.

Program selama satu jam 30 minit itu dibuat bagi merungkai isu rakyat yang merangkumi tiga bahagian iaitu sesi temu bual melibatkan hos iaitu pelakon dan pengacara terkenal, Fikry Ibrahim, soal jawab bersama penonton serta segmen penutup.

Iklan

Sempena Town Hall kali ini, Wan Rosdy berhasrat untuk berkongsi perkembangan mengenai negeri Pahang termasuk pelan pembangunan ekonomi dan inisiatif kebajikan rakyat.

Ujarnya, sebagai pemimpin, beliau bersedia untuk memberi penjelasan sekali gus berkongsi pandangan dan wawasan selagi ia dapat membantu masyarakat memahami dasar serta usaha kerajaan negeri.

"Saya juga ingin mendengar pandangan anak jati Pahang yang menetap di luar negeri kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar program itu mampu menjadi jambatan lebih kukuh antara kerajaan negeri dan rakyat.

"Dengan adanya dialog dua hala ini, kita boleh bersama-sama mencari penyelesaian terbaik untuk sebarang isu yang timbul.

"Saya juga ingin melihat rakyat lebih aktif memberi cadangan membina demi kebaikan bersama,” katanya.