Himpunan Rakyat Benci Rasuah tidak dibiayai parti politik

Iklan
Zaim (kiri) dan Adam (duduk empat dari kiri) pada sidang akhbar Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada 25 Januari ini tidak dibiayai oleh mana-mana parti politik baik daripada kerajaan mahupun pembangkang.

Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli menegaskan, tuduhan sesetengah pihak mengatakan gerakan itu dibiayai oleh parti politik tertentu tidak benar sama sekali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekretariat berkenaan banyak bergerak sendiri tanpa bantuan parti politik kerana objektifnya berjuang dari rakyat untuk rakyat.

"Namun kita tetap terbuka untuk mana-mana parti politik yang ingin bersolidariti bersama ataupun mana-mana gerakan kecil politik yang terlibat dengan politik nasional untuk menyertainya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Iklan

Tambah Zaim, sekretariat berkenaan disokong oleh 50 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan aktivis yang dipimpin oleh mahasiswa.

"Tujuan kami menganjurkan protes ini adalah untuk menzahirkan rasa marah, sedih dan juga kecewa dengan isu integriti semasa.

Iklan

"Kita boleh lihat bagaimana isu integriti baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang, kedua-duanya mempamerkan seolah-olah bahawa integriti di Malaysia ini sudah mati,” katanya.

Zaim berkata, himpunan berkenaan juga dianjurkan kerana menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited menentang rasuah.

Sementara itu, Ketua Media dan Penerangan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Adam Nor berkata, tiga tuntutan akan dibawa sekretariat dalam perhimpunan berkenaan.

"Pertama kita mahu tindakan tegas terhadap mana-mana ahli politik yang didakwa terlibat rasuah dihukum tanpa pilih kasih.

"Siasatan tanpa kompromi dan telus terhadap semua tuduhan rasuah termasuklah skandal Sabah dan pelantikan politik yang dipersoalkan.

"Bantuan semua pemimpin politik termasuk pembangkang diperlukan unuk menamatkan gejala rasuah dan kita berharap agar semua pihak berhenti mengekspolaitasi isu ini untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Difahamkan satu notis pemakluman berkenaan penganjuran himpunan berkenaan telah dihantar kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman pada Rabu.

Himpunan berkenaan akan berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan akan berakhir di Dataran Merdeka.