HULU LANGAT - Aliran Sungai Kabul dianggarkan sepanjang 500 meter bertukar warna merah jambu pada petang Selasa.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, kejadian itu dikesan sewaktu rondaan dan pemantauan rutin pasukan LUAS di lembangan Sungai Langat sekitar jam 6.40 petang.
Menurutnya, kejadian itu disyaki berpunca daripada pelepasan aliran daripada sebuah kilang di Beranang.
"Semakan LUAS di premis berkenaan menemukan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.
"LUAS telah mengarahkan premis berkenaan menghentikan dan menutup pelepasan serta merta," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
Katanya, Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 telah diberikan kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan serta merta di lokasi dan kawasan yang terlibat.
"LUAS juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut.
"Selain itu, LUAS turut mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Kabul dengan kekerapan setiap 30 minit dan memantau rapi kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat sehingga selesai," katanya.
Terdahulu, LUAS mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan.
Ini kerana aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer.