SEPANG – Hadiah wang tunai lebih RM44,750 menanti pemenang pertandingan memancing Surfcasting Tour@Bagan Lalang di sini Ahad ini.
Sempena pertandingan, satu lawatan tapak dilakukan pihak penganjur yang dihadiri Ahli Majlis Sepang Putra, A Vijayarani dan Pengurus Wakjali Event, Md Zali Kasran, bagi meninjau persediaan pertandingan.
Vijayarani berkata, pertandingan itu mampu melonjak industri pelancongan domestik ke Bagan Lalang.
"Pantai peranginan ini memang sesuai bagi penganjuran acara seperti ini kerana memiliki kemudahan asas yang cukup, banyak hotel, pantai yang panjang dan pelbagai spesies ikan.
"Saya sangat mengalu-alukan acara sperti ini. Ini akan membantu peniaga makanan di pantai ini serta hotel berhampiran,’’ katanya pada Isnin.
Beliau menambah, Surfcasting Tour@Bagan Lalang akan turut membantu kempen Cuti-Cuti Malaysia yang digerakkan oleh Tourism Malaysia sekali gus mempromosi dan memeriahkan Tahun Melawat Selangor 2025.
Juara Surfcasting Tour@Bagan Lalang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000.
Pemenang tempat keempat dan kelima menerima RM500, keenam hingga ke-10 akan membawa pulang RM250 dan ke-11 hingga 120 masing-masing akan menerima RM150.
Pertandingan anjuran bersama Wakjali Event Management dan Ahli Majlis MPP Sepang Putra itu akan bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 4 petang Sabtu hingga 12 tengah malam dan bersambung pada 6 pagi Ahad hingga pertandingan dimulakan.
Yuran penyertaan ialah RM100 untuk satu joran dan penganjur turut menyediakan 200 T-shirt untuk peserta yang mendaftar awal.