Steven Sim rai ‘bodyguard’ genggam ijazah Sarjana Muda dari UUM

Iklan
Steven Sim meraikan polis pengiringnya, Koperal Azhar yang baru sahaja bergelar siswazah.

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mencuri tumpuan ramai apabila sempat meluangkan masa meraikan polis pengiringnya, Koperal Azhar yang baru sahaja bergelar siswazah.

Beliau berkata, pencapaian Koperal Azhar amat membanggakan meskipun mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan pengajian dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam.

Iklan
Iklan

Menurut Steven, meskipun sibuk bertugas dan dalam masa sama perlu belajar, pemuda tersebut tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya.

"Beribu-ribu tahniah buat Koperal Azhar yang sudah bergelar siswazah. Dia berjaya menamatkan ijazah dengan keputusan cemerlang.

Iklan

"Daripada dulu tak dapat masuk universiti kerana kekangan kewangan, kerja keras setiap hari sambil ambil kursus di Universiti Utara Malaysia (UUM), sekarang sudah graduasi.

"Koperal Azhar polis pengiring saya. Saya berasa amat bangga sekali, jalan terus!” katanya menerusi hantaran di X pada Ahad.

Iklan

Menerusi video berdurasi satu minit 19 saat yang dimuat naik beliau, rakan-rakan sekerja juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah buat Koperal Azhar.

Begitu juga warga maya yang memuji tindakan menteri berkenaan kerana tidak kekok menyantuni pekerja, bahkan sudi meluangkan masa untuk meraikan mereka.