ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas melecur selepas rumah dua tingkat separa kekal musnah hampir 90 peratus dalam satu kebakaran di Lorong Longwan, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, pada petang Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pusat gerakan operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.19 petang.
Menurutnya, PGO Kedah kemudiannya mengarahkan satu jentera FRT dan satu EMRS dari BBP Jalan Raja dan BBP Alor Setar ke lokasi kejadian.
"Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.27 petang dan memulakan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan dari pam jentera BBP Jalan Raja, dibantu oleh pasukan bomba sukarela (PBS) dengan tiga aliran tambahan.
"Seorang lelaki berusia dalam anggaran 64 tahun, mengalami kecederaan melecur sebanyak 20 peratus akibat kebakaran itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Azizul berkata lagi, Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang namun operasi masih diteruskan dengan memadamkan sisa-sisa api.
Jelasnya, rumah yang terbakar berkeluasan 70 x 30 kaki dan hampir 90 peratus musnah dalam kebakaran tersebut.
"Maklumat lanjut mengenai kejadian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.
Tambah beliau, operasi tersebut juga menerima bantuan pasukan PBS berdekatan, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).