PETALING JAYA - Siasatan melibatkan salah laku Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya melibatkan seorang individu yang merupakan kepimpinan tertinggi persatuan terbabit.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan berkaitan isu elaun.
"Beberapa saksi tambahan telah dipanggil, dan siasatan melibatkan isu elaun, tetapi ini hanya melibatkan individu berkenaan, bukan seluruh entiti atau organisasi.
"Penyiasatan masih berjalan, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setakat ini, enam saksi telah dipanggil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perasmian penutup Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kelana Jaya pada Isnin.
Katanya, individu terbabit akan dipanggil bagi siasatan lanjut berkaitan kes ini.
Sinar Harian sebelum ini mengesahkan SPRM menjalankan terhadap kepimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut sumber, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara terbabit.