Larangan guna pangkalan haram: Empat individu ditahan

Iklan
Ayob Khan

PASIR MAS - Empat individu ditahan selepas lapan hari penguatkuasaan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok di sini dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia melibatkan tangkapan dua warganegara Malaysia dan Thailand (2) masing-masing berusia 33 hingga 50 tahun.

Iklan
Iklan

"Mereka menggunakan pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok untuk memasuki negara ini pada Sabtu.

"Tangkapan terhadap seorang wanita dan tiga lelaki itu dibuat di lokasi berasingan," katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu beliau turun padang meninjau situasi banjir di negeri ini dan turut sama ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Menurut beliau, kesemua mereka direman bermula Sabtu selama empat hari.

Iklan

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen.

Ayob Khan memberitahu, beliau mengambil maklum terhadap sedikit ketidakpuasan mengenai tindakan larangan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram.

"Benda ini dah lama berlaku dan baru sekarang tindakan diambil.

"Sekarang baru kita nak ambil tindakan dan undang undang sedia ada di mana benda ini tidak akan tamat tapi berterusan," katanya.

Beliau yakin akan ada lagi yang akan menyelusuk masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Yusoff menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember ini sebagaimana arahan yang dikeluarkan pada Isnin.

"Kita tetap dengan pendirian sebagai pihak berkuasa untuk teruskan pada tarikh tersebut dibawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)," katanya.