Pemuda Umno buat 191 laporan polis terhadap Moorthy

Iklan
Dr Asyraf Wajdi Dusuki - Foto Bernama
SHAH ALAM - Kesemua 191 Pemuda Umno Bahagian membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy susulan kenyataan kontroversinya dalam video yang tular baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan itu dibuat kerana tindak tanduk Moorthy yang didakwa memburukkan negara dengan pelbagai tuduhan.

"Apa dikatakan Moorty itu fitnah dengan sengaja mahu menggambarkan bahawa masyarakat India dan Hindu di Malaysia hidup tertindas.

"Setakat hari ini beliau tidak pernah meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia apatah lagi menarik balik kenyataan beliau dalam pelbagai video yang tular sejak beberapa hari lalu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Umno desak Menteri Perpaduan letak jawatan ]

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendesak Moorthy meletakkan dan melepaskan jawatan beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Katanya, desakan itu dibuat kerana kegagalan Moorthy menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.

Petisyen atas talian juga diwujudkan atas desakan sama dengan merekodkan lebih 150,000 tandatangan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Itu kisah lama, Moorthy' ]

Berhubung penyebaran video yang tular itu, Moorthy menjelaskan kenyataannya mengenai berlakunya pencabulan hak asasi di Malaysia merupakan sedutan video 10 tahun lepas.

Katanya, beliau telah diwawancara oleh sebuah stesen TV Belanda selepas 'ledakan' perhimpunan Hindraf pada November 2007.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Boleh buat petisyen terhadap Moorthy tapi... ]

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi respon bahawa rakyat boleh membuat petisyen terhadap Moorthy tetapi ia bukan arahan untuk menteri itu meletak jawatan.

Beliau berkata, Moorthy yang kini berada dalam kerajaan tidak lagi berpegang kepada apa yang dikatakannya sebelum ini.