NGO kesal, dakwa pegawai khas MB Kedah bawa unsur gengsterisme
Iklan
Mohd Ridzuan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Alor Setar pada Selasa.
ALOR SETAR - Sekretariat Sukarelawan Ikhlas Malaysia (Ikhlas) mendakwa seorang pegawai khas Menteri Besar Kedah telah membawa elemen gengsterisme dalam isu penyelesaian penjaja pasar malam di Jalan Pegawai, di sini.
Pengerusinya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, mereka kesal terhadap kelakuan itu dan mendakwa tindakan pegawai khas tersebut telah mencemarkan imej kerajaan negeri dan menakutkan rakyat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) tersebut telah turun padang dan bertemu dengan peniaga-peniaga yang terlibat di kawasan berkenaan bagi mendapatkan gambaran dan maklum balas sebenar.
"Saya rasa amat kesal dan sedih lah. Sedih seorang pegawai khas berkelakuan sebegini di mana cuba menunjukkan unsur gengsterisme.
Iklan
"Rakyat akan menilai mengapa kerajaan negeri mempunyai seorang pegawai khas yang berkelakuan seperti ini dan menyebabkan rakyat takut untuk berurusan dengan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Terdahulu sebelum sidang akhbar bermula, Mohd Ridzuan menunjukkan sebuah video memaparkan pegawai khas berkenaan membawa beberapa ayahanda kawasan dan ayahanda Pekida ke pasar malam tersebut selepas kejadian perselisihan faham dengan beberapa individu.
Iklan
Pada 22 Oktober lalu, media melaporkan tular sebuah video di TikTok berkaitan perselisihan faham antara beberapa individu di pasar malam Jalan Pegawai membabitkan pegawai khas Menteri Besar Kedah.
Bagaimanapun, pegawai terbabit tampil menafikan dakwaan mengasari wakil peniaga seperti tular, sebaliknya hanya mahu berbincang dengan ketua peniaga berkenaan.
Tegas Mohd Ridzuan, NGO tersebut tidak rugi apa-apa jika menegur perkara yang tidak betul tidak kira kerajaan mana yang sedang memerintah pada hari ini.
Menurut beliau, tidak semua peniaga dan pengunjung yang datang ke pasar malam tersebut menyokong satu blok parti politik sahaja
"NGO bertanggungjawab untuk menegur perkara yang tidak betul demi kebaikan rakyat dan negara. Kita tidak boleh membiarkan elemen politik menyusahkan pihak polis dan agensi-agensi lain," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kerjasama yang diberikan oleh pihak polis dalam membuka kertas siasatan terhadap isu berkenaan.
Menurutnya, NGO tersebut berharap agar mana-mana parti politik tidak memainkan sentimen politik dengan peniaga atau NGO.
"Jika pegawai khas ini tidak ditukar, akhirnya kerajaan negeri yang akan rosak. Kita sebagai NGO bertanggungjawab menjaga kepentingan peniaga. Jangan kaitkan politik dengan perniagaan," tegasnya.
Tambahnya, beliau akan memangku sementara tugas Pengerusi Ikhlas Negeri Kedah, Sarjakhan Abu Bakar sehingga pelbagai isu penjaja di negeri ini reda.
Impian remaja itu menjadi kenyataan apabila dia dibawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) bersama ibu bapanya dan dua adik, berkunjung ke menara berkenaan pada malam Jumaat.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/794930/edisi/utara/kakak-minta-naik-menara-alor-setar-walaupun-matanya-sudah-tidak-nampak-sepenuhnya
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.