Gantung Bersatu Jasin mungkin taktik musuh gagalkan saya - ADUN Bemban
Iklan
Keputusan JPP Pusat menggantung Bersatu Bahagian Jasin dijangka tidak menjejaskan proses pemilihan parti
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Di sebalik pengesahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin digantung, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan ia merupakan proses normal dibuat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) peringkat pusat demi memastikan proses pemilihan parti tidak terganggu.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu tidak menolak kemungkinan tindakan penggantungan Bersatu Bahagian Jasin diterajui beliau itu, mungkin didalangi pihak 'lawan' yang cuba menggagalkan peluangnya dalam merebut jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
Iklan
Iklan
Dr Mohd Yadzil Yaakub
Jelasnya, selaku ketua pimpinan Bersatu Melaka, beliau menganggap peluang memenangi jawatan MPT sangat tinggi disebabkan Bersatu negeri itu memiliki kesatuan kuat di bawah terajunya.
"Rentetan ura-ura mengatakan Bersatu Bahagian Jasin digantung, saya mengesahkan perkara tersebut dan ia adalah proses normal pengurusan parti untuk pastikan pemilihan berjalan lancar tanpa ada masalah.
Iklan
"Namun di dalam politik, sudah menjadi adat dalam pertandingan pastinya ada persaingan.
"Apa yang boleh saya katakan, sebagai pemimpin yang memegang kerusi tertinggi parti dalam negeri, sudah pasti menjadi sasaran pihak 'lawan'.
"Apatah lagi saya merupakan antara calon Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diramalkan pasti menang, sudah pasti akan ada usaha-usaha menggagalkan kejayaan saya.
Iklan
"Mungkin ini cara pihak lawan lemahkan saya. Percayalah, mereka silap percaturan," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus dakwaan Bersatu Bahagian Jasin dan beberapa bahagian lain di seluruh negara kini digantung daripada terlibat dalam proses pemilihan parti yang berlangsung pada 26 Oktober dan 2 November hadapan.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Yadzil yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka memberi jaminan keputusan penggantungan Bersatu Bahagian Jasin tidak akan memberi kesan besar kepada ahli-ahli bahagian berkenaan dan beliau sendiri.
Tambahnya, beliau langsung tidak rasa gentar dan takut, malah semakin kuat dan yakin akan menerima sokongan padu daripada akar umbi parti.
"Apa pun, saya kekal taat kepada kepimpinan parti. Dalam tempoh dua minggu terakhir, saya ingin ingatkan kepada semua, apa sahaja boleh berlaku," tegasnya.
Mohd Rafiq
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah mengakui masalah penggantungan dihadapi Bersatu Bahagian Jasin adalah merupakan perkara normal sempena proses pemilihan parti yang hakikatnya turut berlaku kepada sebilangan Bersatu bahagian lain di seluruh negara.
Jelasnya, keputusan penggantungan itu dibuat sekiranya JPP parti ada menerima aduan berkenaan masalah pemilihan di peringkat cawangan yang akhirnya menjejaskan proses pertandingan.
Tambah beliau, di Selangor sendiri, terdapat beberapa Bersatu bahagian seperti Tanjung Karang, Petaling Jaya dan Hulu Selangor dikenakan proses penggantungan, manakala di Kelantan melibatkan Gua Musang dan Machang.
"Justeru, penggantungan Bahagian Jasin ini boleh dianggap sebagai masalah teknikal yang boleh mengganggu proses pemilihan peringkat pusat sekiranya keputusan itu tidak dibuat segera.
"Selepas proses pemilihan selesai, mana-mana Bersatu bahagian terlibat akan dibuat pemulihan semula dengan proses pemilihan peringkat bahagian dan cawangan akan dilaksanakan demi memastikan kepimpinan baharu dilantik," katanya.
Mohd Rafiq yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor turut menjelaskan keputusan penggantungan turut dibuat terhadap mana-mana bahagian yang tidak dapat dikenal pasti keahlian sebenar anggota mereka.
"Sudah pasti keputusan penggantungan sebahagian Bersatu bahagian ini tidak akan menjejaskan proses pemilihan parti memandangkan masih ada lebih 190 daripada keseluruhan 202 bahagian yang tidak bermasalah untuk diadakan pertandingan," ujarnya.
Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu, lapor wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/797938/berita/politik/pn-tubuh-pasukan-perundangan-teliti-tindakan-ros
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.