KUALA LUMPUR - Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum mahkamah, adalah mesej jelas bahawa mereka tidak kebal daripada undang-undang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menjunjung kasih atas titah Sultan Ibrahim itu berkata, ingatan berkenaan menunjukkan Seri Paduka Baginda mahu mereka yang menerima kurniaan tersebut supaya sentiasa menjaga peribadi dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah terutama rasuah.