Polis tahan tiga sekeluarga curi di masjid, surau

Iklan
Nor Omar (dua dari kanan) menunjukkan alatan pecah rumah yang turut dirampas dengan tertangkapnya tiga suspek curi surau dan masjid pada sidang media, hari ini.

MANJUNG - Tiga sekeluarga termasuk sepasang suami isteri yang terlibat dalam beberapa kes kecurian di surau dan masjid di daerah ini ditahan dalam satu operasi, Selasa lalu.

Suspek utama berusia 34 dan isterinya berusia 20 tahun serta abang ipar berusia 28 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di tepi jalan besar di Segari pada jam 6.25 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis juga merampas beberapa alatan pecah rumah, barangan elektrik dipercayai hasil curi dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu.

"Daripada siasatan kita dapati, mereka memecah masuk surau dan masjid pada awal pagi iaitu sebelum masuk waktu subuh bagi mengelak dikesan orang ramai.

Iklan

"Barang-barang yang dicuri seperti televisyen, pendingin hawa dan kipas kemudiannya dijual di sebuah premis di Kamunting bagi mendapatkan wang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Nor Omar (dua dari kanan) menunjukkan rampasan hasil kegiatan curi surau dan masjid dilakukan tiga suspek.

Menurutnya, kumpulan dikenali geng Wira itu mengaku terlibat lapan kes jenayah pecah surau dan masjid antaranya di Manjung, Ayer Tawar Pantai Remis dan Beruas sejak lebih setahun lalu.

Iklan

"Bukan setakat menyasarkan peralatan elektrik, kumpulan ini turut mengambil duit tabung masjid.

"Dengan tertangkapnya tiga suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes dilaporkan di daerah ini," katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek utama bersama abang iparnya masing-masing mempunyai tiga dan satu rekod lampau berkaitan dadah selain saringan air kencing dua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Kejayaan tangkapan itu susulan laporan diterima polis berhubung kejadian curi di Masjid Al Falah, Ayer Tawar, 1 Januari lalu," katanya.

Nor Omar berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid, didapati pasangan suami isteri berkenaan masuk ke kawasan masjid sekitar jam 1.15 pagi dan mengambil barangan antaranya televisyen LCD 43 inci, kotak kipas dan penyedut hampagas.

Nor Omar menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam satu serbuan, Rabu lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan bersama lebih 1.16kg dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pundut, Lumut, Rabu lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek berusia 22 tahun itu menemui tiga peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 1.1 kilogram dan dua peket lut sinar berisi syabu seberat 52 gram dengan anggaran nilai keseluruhan RM15,000.

"Suspek yang juga penganggur itu ditahan reman selama enam hari sehingga 4 Februari ini untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.