PUTRAJAYA - Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Isyak malam ini bagi memohon agar Malaysia dilindungi ALLAH daripada wabak koronavirus.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri turut disaran menganjurkan solat hajat dan doa selamat di masjid di bawah seliaan masing-masing susulan pengesahan jangkitan pertama kes koronavirus di Malaysia melibatkan tiga pelancong dari China yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.