Lagi dipujuk, lagi tinggi pula dia panjat!

Iklan
Lokasi kejadian. - Foto ihsan bomba

KANOWIT - Seorang lelaki tempatan sanggup berada di paras ketinggian 100 meter dari tapak menara telekomunikasi di Bukit Mamaloh dekat sini sejak semalam dan masih enggan turun walaupun telah melepasi 24 jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik, berkata sepasukan anggota balai itu masih lagi berusaha untuk memujuk lelaki berkenaan turun daripada menara telekomunikasi itu yang setinggi 150 meter.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak polis jam 8.20 pagi semalam yang meminta bantuan bomba untuk memujuk lelaki berkenaan agar turun.

Beliau berkata sewaktu dipujuk supaya turun, lelaki itu tetap enggan mendengar nasihat mereka dengan alasan takut ditangkap polis dan terus memanjat lebih tinggi lagi.

Iklan

Arrahman berkata, lelaki itu turut bertindak agresif dengan membaling objek ke arah beberapa orang anggota bomba yang memanjat menara berkenaan untuk mendekati dan memujuknya turun, memaksa mereka menghentikan sementara usaha mereka.

Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, lelaki berkenaan masih lagi berada di menara berkenaan dan motif dia berbuat demikian masih lagi belum diketahui.

Iklan

"Kita percaya lelaki itu akan turun juga akhirnya nanti kerana dia pasti lapar dan kepenatan berada di atas menara. Kita akan terus menunggu sehingga lelaki itu turun,” katanya. - Bernama