Khazanah masih mencari rakan strategik

Iklan
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd masih mencari rakan strategik bagi syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah Nasional sedang meneliti tawaran daripada beberapa syarikat yang berminat dan ia telah dibangkitkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Iklan
Iklan

"Tetapi kami masih merasakan ada keperluan untuk melihat pandangan dan tawaran lain kerana tawaran yang sedia ada tidak begitu menarik dan harus dikaji terlebih dahulu.

"Beberapa syarikat antarabangsa telah menyatakan minat untuk membantu, kami berhasrat untuk tidak menjual syarikat penerbangan nasional itu tetapi mencari rakan strategik bagi memperbaiki kedudukannya hari ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis untuk mengiktiraf Ramly Food Industries Sdn Bhd sebagai penerima pertama Dana Transformasi Pendigitalan Industri daripada Bank Pembangunan Bhd di sini hari ini.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang tempoh masa tetapi Perdana Menteri telah menerima kunjungan daripada sebuah syarikat antarabangsa dan saya diminta untuk membuat susulan mengenai perbincangan itu secepat mungkin," katanya.

Iklan

Pada Oktober tahun lepas, Mohamed Azmin berkata bahawa Khazanah Nasional telah menerima beberapa cadangan daripada syarikat penerbangan dan juga syarikat bukan penerbangan untuk menjadi rakan strategik bagi Malaysia Airlines.

Ditanya mengenai kesimpulan berpotensi terhadap langkah tersebut, Azmin berkata beliau berharap dapat menamatkan keseluruhan langkah itu secepat mungkin kerana mahu Malaysia Airlines berada pada hala tuju pertumbuhan untuk mengurangkan beban kewangan Khazanah

Mengenai rundingan semula antara Khazanah Nasional dan Telenor ASA, Mohamed Azmin berkata, dana kekayaan negara itu akan mengkaji perjanjian itu jika tawaran itu"baik".

"Ia dimulakan tahun lepas tetapi rundingan berkenaan digantung kerana sebab tertentu. Setakat ini, tiada lagi perkembangan terbaru mengenainya," katanya.

Mohamed Azmin mengulas mengenai laporan berita yang menyatakan bahawa Khazanah Nasional dan Telenor telah memulakan semula rundingan mengenai perjanjian yang berpotensi melibatkan Axiata Group Bhd. - Bernama