Daftar sistem GeoAgro dahulu sebelum mohon Budi Madani - KPKM

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Petani, penternak dan pengusaha akuakultur diminta untuk mendaftarkan diri di sistem GeoAgro terlebih dahulu sebelum melakukan permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, individu yang layak dan menepati syarat ditetapkan boleh melakukan pendaftaran menerusi portal yang disediakan.

Iklan
Iklan

"Petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlu berdaftar terlebih dahulu melalui Sistem GeoAgro di pautan https://geoagro-register.kpkm.gov.my dan membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my.

"Antara syarat permohonan (Budi Madani) adalah individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro dan julat pendapatan kasar tahunan daripada nilai jualan hasil pertanian dari RM50,000 hingga RM300,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan bagi program Budi Madani akan dibuka bermula pada Selasa.

Menurutnya, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Iklan

Jelas beliau, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Tambahnya, kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

Dalam pada itu KPKM memaklumkan, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan serta pesawah akan terus dikekalkan.

"Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

"Manakala bagi pesawah, kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun 2023," ujar kenyataan itu.

Mengulas lanjut KPKM berkata, sebagai tambahan kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim dan memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

Jelasnya, menerusi kenaikan kadar tersebut pesawah terlibat akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.

Menurut kenyataan itu, permohonan bagi fleet card diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 pula perlu dibuat melalui sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

"Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh menghubungi Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 atau 1147 bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau e-mel kepada geoagroadmin@kpkm.gov.my.

"Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!