SPR adakan mesyuarat khas 6 Jun ini bincang tarikh PRK Sungai Bakap

Iklan
SPR adakan mesyuarat khas 6 Jun ini bincang tarikh PRK Sungai Bakap. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR,” katanya.

Iklan

Ikmalrudin berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu tamat.

Pada 24 Mei lepas, Nor Zamri, 56, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 1.38 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut dan telah menerima rawatan di pusat perubatan itu sejak awal bulan ini.

Iklan

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. - Bernama