Lai Ching-te, anak pelombong dilantik Presiden Taiwan

Iklan
Lai Ching-te melambai tangan selepas menyampaikan ucapan sejurus mengangkat sumpah sebagai Presiden Taiwan. Foto AFP

ANAK kepada pelombong arang batu, Lai Ching-te dari Taiwan pada Isnin lalu mengangkat sumpah sebagai presiden baharu pulau diperintah sendiri dengan ‘ditugaskan’ memadamkan keazaman China merampas semula pulau itu.

Ching-te, 64, yang mendapatkan pendidikan di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) berjaya menyandang jawatan tertinggi Taiwan semasa pilihan raya pada awal Januari lalu dengan berjanji mempertahankan demokrasi Taiwan dan menentang tuntutan Beijing ke atas pulau tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemenangannya yang akan memberikan pemerintahan selama tiga penggal untuk Parti Progesif Demokratik (DPP) adalah jelas bahawa Taiwan menolak autoritarianisme.

"Demokrasi kita sentiasa berada di bawah tekanan maklumat palsu asing, ancaman ketenteraan dan paksaan ekonomi.

Iklan

"Paksaan China hanya menguatkan tekad kami untuk kekal demokratik dan bebas. Kami enggan tunduk kepada ketakutan,” kata Lai.

Ching-te telah berikrar untuk meneruskan dasar Presiden Tsai Ing-wen yang telah tamat tempoh pemerintahannya untuk membina keupayaan ketenteraan Taiwan sebagai pencegahan terhadap kemungkinan diceroboh China.

Iklan

Latar belakang

Presiden baharu Taiwan, Lai Ching-te (tengah); Naib Presiden, Hsiao Bi-khim (kanan) dan Presiden, Tsai Ing-wen (kiri) semasa upacara mengangkat sumpah di Bangunan Pejabat Presiden di Taipei. Foto AFP

Ching-te dilahirkan pada tahun 1959 dan dibesarkan oleh ibunya serta lima beradik lain di sebuah dusun luar bandar di New Taipei City, selepas bapanya yang bekerja sebagai pelombong arang batu meninggal dunia semasa beliau masih kecil.

Selepas lulus dari Universiti Harvard dalam bidang kesihatan awam, beliau bekerja di sebuah hospital di selatan Taiwan sebelum menceburi bidang politik pada tahun 1996 semasa Krisis Ketiga Selat Taiwan.

"Saat penentu saya datang ketika pencerobohan tentera China... mengancam pantai kita dengan latihan tembakan langsung dan peluru berpandu.

"Saya memutuskan untuk mempunyai kewajipan mengambil bahagian dalam demokrasi Taiwan dan membantu melindungi percubaan baharu ini,” tulisnya dalam The Wall Street Journal tahun lepas.

Sebelum menjadi Presiden Taiwan, Ching-te pernah berkhidmat sebagai penggubal undang-undang, datuk bandar di selatan Tainan dan perdana menteri serta dilantik menjadi naib presiden kepada Presiden Ing-wen.

Di bawah tempoh dua penggal pemerintahan Ing-wen, hubungan dengan China semakin merosot selain semua komunikasi peringkat tinggi terputus.

Ching-te masih berpegang pada pendirian Ing-wen bahawa Taiwan ‘sudah merdeka’ dan tidak perlu secara rasmi mengisytiharkan dirinya terpisah daripada China.

Penolakan kerjasama dengan China

Sebelum ini, Ching-te menegaskan bahawa beliau bersedia berbaik dengan China tetapi dengan bersyarat dengan tidak ‘menggadaikan’ kedaulatan Taipei kepada Beijing.

"Menerima prinsip ‘Satu China’ bukanlah cara keamanan sebenar,” katanya yang merujuk doktrin Beijing bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China.

Ching-te (tengah) melihat pameran senjata di Taoyuan, Taiwan. Foto AFP

Semasa Ching-te mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan dikatakan lebih lantang daripada Ing-wen, pengkritik menyatakan keberanian beliau bersandarkan kepada rakan kongsi Amerika Syarikat selaku penyedia senjata utama Taiwan.

Tetapi profesor sains politik, Luo Chih-mei dari Universiti Taipei Nasional berkata, presiden baharu ini tidak mungkin membuat langkah rumit semasa tahun pilihan raya AS.

Felo Kanan Institut Brookings, Ryan Hass berkata, Ching-te bukan seorang fanatik dengan menumpukan landasan kemerdekaan Taiwan.

"Beliau adalah ahli politik profesional yang mengatur kerjayanya untuk menjadi Presiden Taiwan.

"Sekarang beliau telah naik ke jawatan pilihan utama Taiwan dan dia akan mahu memenangi pemilihan semula,” kata Hass dalam satu kenyataan. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!