Hadiah kahwin Soon Huat-Shevon RM156,350

Iklan
Pasukan beregu campuran negara, Goh Soon Huat (kanan) dan Lai Shevon Jemie menjulang Piala Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2024 selepas Malaysia menang kepada Indonesia 21-18, 21-19 pada pusingan akhir perlawanan Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad. Foto Bernama

IMPIAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk meraih hadiah perkahwinan istimewa tercapai setelah menjuarai Malaysia Masters 2024 sebentar tadi.

Kejayaan manis tersebut hadir selepas pasangan pengantin baharu itu menumpaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia secara straight set di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Iklan
Iklan

Pasangan yang menghuni ranking ke-18 dunia itu mendapat sokongan padu ribuan peminat untuk mempamerkan aksi bertenaga sebelum menang 21-18, 21-19 pada aksi final dalam tempoh 47 minit.

"Saya tidak sangka kami boleh sampai hingga sejauh ini (final dan muncul juara). Pada awalnya apabila melihat undian cabaran agak sengit dan ia kelihatan sukar.

Iklan

"Namun akhirnya, impian menjadi kenyataan dan ini memori yang sangat indah buat kami. Lebih-lebih lagi ia diraih di hadapan penyokong sendiri," ujar Shevon ketika ditemui media sejurus tamat permainan.

Goh Soon Huat (kiri) dan Lai Shevon Jemie ketika menentang pemain Indonesia Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari pada pusingan akhir perlawanan Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad. Foto Bernama

Sebagai juara kejohanan berstatus Super 500 itu, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,350), manakala Rinov-Pitha Haningtyas berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,206).

Iklan

Kejayaan tersebut itu membolehkan mereka melakar kemenangan ketiga berturut-turut dan yang keenam daripada tujuh pertemuan ke atas lawan yang berada di kedudukan ke-15 dunia itu.

Ia juga menyaksikan mereka menamatkan penantian wakil beregu campuran negara untuk mengungguli Malaysia Masters sejak kali terakhir dimenangi gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

Sebagai rekod, ini adalah gelaran kedua Soon Huat-Shevon musim ini selepas menjuarai Terbuka Switzerland pada Mac lalu.

Pada 29 Disember 2022, Soon Huat-Shevon mengumumkan pertunangan selepas lebih dua tahun menjalinkan hubungan dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!