RM189 bilion disalurkan kepada pengurusan dana luaran hingga akhir 2023 - KWSP

Iklan
Gambar hiasan

BARISAN pengurus dana luaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghasilkan pulangan yang baik tahun lepas dengan mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi, kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan dana itu walaupun menghadapi pasaran yang tidak menentu dan mencabar.

Menurut kenyataan pada Ahad, KWSP memaklumkan sehingga 31 Disember 2023, sebanyak RM189 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, yang mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Iklan
Iklan

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, jumlah dana yang diurus oleh pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lepas.

"Dedikasi mereka untuk menghasilkan nilai yang berkekalan telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Iklan

KWSP juga mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang barisan pengurus dana luarannya mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

11 pemenang itu ialah AIIMAN Asset Management Sdn Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Syariah) 2023); Pheim Asset Management Sdn Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Konvensional) 2023); BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd (Pengurus Dana Bon Global Terbaik 2023) dan Principal Asset Management Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi MSCI Pasaran Pesat Membangun Amerika Latin 2023).

Iklan

Robeco Institutional Asset Management menjulang anugerah Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi Faktor Pelaburan 2023; Abrdn Malaysia Sdn Bhd (Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi MSCI Etika Asia (tidak termasuk Jepun, tidak termasuk Malaysia) 2023) dan AHAM Capital Asset Management (Pengurus Dana Ekuiti Domestik KWSP Terbaik 2023).

Sementara itu, Pengurus Dana Ekuiti Global KWSP Terbaik 2023 dan Pengurus Dana Luaran KWSP Terbaik 2023 diraih oleh Amundi.

Amundi Aalam Sdn Bhd dan Amundi Malaysia Sdn Bhd masing-masing memperoleh anugerah Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi FTSE Syariah Dunia Maju 2023 dan Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Terbaik bagi FTSE Beretika Dunia Maju 2023.

KWSP menjelaskan bagi tahun kewangan berakhir 2023, pihaknya telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional; dan 5.40 peratus dengan agihan RM7.48 bilion untuk Simpanan Shariah.

Secara kumulatif, jumlah agihan untuk 2023 ialah RM57.81 bilion.

Ahmad Badri berkata pencapaian itu turut disumbang oleh pempelbagaian yang dilaksanakan pengurus dana dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!